Hari Nuzul Quran sudah berlalu. Tetapi ada perkara yang perlu kita fikir bersama.
Saudaraku yang dirahmati Allah, saban tahun di bulan suci Ramadan ini, ramai orang Islam di sekitar kita merayakan dan memperingati sirah-sirah yang telah merubah sejarah umat Islam. Dan mungkin juga kita termasuk dalam kalangan mereka, turut serta merayakan dan memperingati sirah-sirah itu. Salah satunya ialah Nuzul Quran; al-Quran diturunkan secara utuh dari Lauhul Mahfuzh di langit ketujuh, ke Baitul Izzah di langit dunia.
Firman Allah Ta'ala yang bermaksud :
“Bulan Ramadhan, bulan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang batil).” (QS al-Baqarah 2: 185)
Peringatan terhadap turunnya Al Quran diwujudkan oleh masyarakat dalam pelbagai program. Ada yang dengan mengadakan ceramah. Ada yang merayakannya dengan pertunjukan pentas seni; qasidah, anasyid dan lainnya. Dan tidak sedikit pula yang memperingatinya dengan mengadakan makan-makan.
Pernahkah anda tertanya: bagaimanakah cara Rasulullah SAW dan sahabatnya dan juga ulama’ terdahulu setelah mereka memperingati kejadian ini?
Anda merasa ingin tahu apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW?
Mari kita semak kata sahabat Abdullah bin Abbas r.a. tentang apa yang baginda lakukan.
كَانَ جِبْرِيلُ يَلْقَاهُ فِى كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ . رواه البخاري
“Dahulu Malaikat Jibril sentiasa menjumpai Rasulullah SAW pada setiap malam Ramadhan, dan selanjutnya dia membaca al-Quran bersamanya.” (HR Bukhari)
Demikianlah, Nabi SAW bermudarasah, membaca al-Quran bersama Malaikat Jibril a.s. di luar solat. Dan ternyata itu belum cukup bagi Nabi SAW, baginda masih merasa perlu dan mahu membaca al-Quran dalam solatnya. Anda ingin tahu, seberapa banyak dan seberapa lama beliau membaca Al Quran dalam solatnya?
Mari kita teliti kata sahabat Huzaifah r.a. tentang pengalaman beliau mendirikan solat tarawih bersama Rasulullah SAW.
“Pada suatu malam di bulan Ramadan, aku solat bersama Rasulullah SAW di dalam bilik yang diperbuat daripada pelepah kurma. Baginda memulakan solatnya dengan membaca takbir, selanjutnya beliau membaca doa:
الله أكبر ذُو الجَبَرُوت وَالْمَلَكُوتِ ، وَذُو الكِبْرِيَاءِ وَالْعَظَمَةِ
Selanjutnya beliau mula membaca surat al-Baqarah, saya mengira bahwa baginda akan berhenti pada ayat ke 100, ternyata baginda terus membaca. Sayapun kembali mengira: baginda akan berhenti pada ayat ke 200, ternyata baginda terus membaca hingga akhir al-Baqarah, dan terus menyambungnya dengan surat ali Imran hingga akhir. Kemudian baginda menyambungnya lagi dengan surat an-Nisa’ hingga akhir surat. Setiap kali baginda membaca ayat yang mengandungi hal-hal yang menakutkan, baginda berhenti sejenak untuk berdoa memohon perlindungan. Bermula selesai solat Isya’ pada awal malam hingga akhir malam, sehingga saat Bilal memberitahu baginda bahawa waktu solat subuh telah tiba, baginda hanya solat empat rakaat.” (HR Ahmad, dan Al Hakim)
Empat rakaat. Allahuakbar!
Demikianlah cara Rasulullah SAW memperingati turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan, membaca penuh dengan penghayatan akan maknanya. Tidak hanya berhenti pada mudarasah, baginda juga banyak membaca al-Quran pada solat, hingga mencecah 5 juzuk atau lebih.
Mari kita bandingkan apa yang baginda lakukan dengan yang kita lakukan. Sudahkah anda mengetahui betapa besar perbezaannya?
Anda juga ingin tahu apa yang dilakukan oleh para ulama’ terdahulu pada bulan Ramadhan?
Imam as-Syafi’e pada setiap bulan ramadhan mengkhatamkan bacaan al Quran sebanyak 60 kali.
Imam al-Aswab an-Nakha’i setiap dua malam mengkhatamkan Al Qur’an.
Imam Qatadah as-Sadusi, memiliki kebiasaan setiap tujuh hari mengkhatamkan Al Qur’an sekali. Akan tetapi bila bulan Ramadhan telah tiba, beliau mengkhatamkannya setiap tiga malam sekali. Dan bila telah masuk sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan, beliau senantiasa mengkhatamkannya setiap malam sekali.
Demikianlah teladan ulama’ terdahulu dalam memperingati sejarah turunnya al-Qur’an.
Orang-orang seperti merekalah yang dimaksudkan oleh firman Allah Ta’ala:
اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُّتَشَابِهًا مَّثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ ذَلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاء وَمَن يُضْلِلْ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ .
“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) al-Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) dan berulang-ulang, (kerananya) gementar kulit orang-orang yang takut kepada Rabbnya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorangpun pemberi petunjuk baginya.”
(QS az-Zumar 39 : 23)
(QS az-Zumar 39 : 23)
Firman Allah Ta’ala lagi:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ {2} الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ {3} أُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَّهُمْ دَرَجَاتٌ عِندَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Rabblah mereka bertawakkal, (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi Rabbnya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.” (QS al-Anfaal 8: 2-4)
Manakala kita, maka hanya dengan rahmat Allahlah yang kita nantikan. Betapa sering kita membaca, mendengar ayat-ayat Al Quran, akan tetapi semua itu seakan tidak meninggalkan bekas sedikitpun. Hati terasa kaku, dan keras, sekeras batu. Iman tak kunjung bertambah, bahkan sentiasa terkikis oleh kemaksiatan. Dan kehidupan kita begitu jauh dari zikir kepada Allah.
Saudaraku,
Sampai bila kita terus menerus dengan keadaan kita sebelum ini? Mungkinkah kita akan sentiasa merasa puas dengan mendustai hati kita sendiri? Kita mengaku, kita mencintai Allah dan kalamNya, dan selanjutnya kecintaan dan keimanan itu diwujudkan dalam bentuk apa?
Al-Quran yang mahal dibalut rapi menjadi hiasan?
Sibuk memilih surah yang membawa ‘fadhilat’ sekian-sekian?
Atau selesa dengan hanya meneguk ‘ceramah’ tentang al-Quran bersama deraian tawa tidak membesit iman?
Ketahuilah saudaraku, selain membaca al-Quran, kita dapat membuktikan sebenar-benar kecintaan dan keimanan kepada al-Qur’an dengan pertama, mengkaji kandungannya, dan yang kedua mengamalkan nilai-nilainya.
Untuk mengkaji kandungannya, kita sudah ada alat bantu belajar daripada deretan kitab tafsir mu’tabar.
Untuk mengamalkan nilai-nilainya, kita boleh merujuk kepada fungsi al-Quran. Antaranya hudan linnaas (QS 2:185), syifa’ (QS 10:57), mau’izoh (QS 3: 138), furqan (QS 3:4), dan sebagainya.
Namun, ada satu fungsi yang cukup BESAR yang telah kita tahu, kita sebut dan kita dengar. Fungsi al-Quran sebagai aturan dan pedoman hidup (QS 5:44,45,47). Saudaraku, fungsi yang besar, yang kita sudah tahu, sebut dan dengar ini, adakah kita sudah melaksanakannya dengan meletakkan al-Quran di tempatnya? Sebagai perlembagaan hidup yang diberi oleh Maha Pencipta. Sudah?
Saudaraku, kita akan jumpa Dia, nanti nak jawab apa?
Pahit.
*Eh, kamu kata nak merdeka?
No comments:
Post a Comment