Sunday, July 24, 2011

Ramadhan & Muslimah : Hukum Mencegah Haidh untuk Berpuasa Sebulan


Ramadhan adalah bulan yang ditunggu-tunggu kedatangannya oleh seluruh umat Islam. Masakan tidak, di bulan inilah segala amal ibadah mendapat ganjaran yang berlipat ganda. Di dalamnya juga, kita dapat menemui malam yang lebih baik dari seribu bulan. Maka sudah sewajarnya, tidak sedikit daripada kita yang berazam untuk beramal soleh di bulan ini. Kaum wanita pun tidak mahu kalah, turut bersemangat untuk menabung pahala. Akan tetapi kaum wanita memiliki fitrah yang tidak dapat dielakkan, dan memerlukan perhatian khusus.

Soalan:
Apakah hukumnya wanita menggunakan ubat pencegah haidh di bulan Ramadhan?

Jawapan:
Seorang wanita tidak dianjurkan untuk mengamalkan ubat pencegah haidh pada bulan Ramadhan kerana haidh adalah suatu ketetapan Allah bagi kaum wanita.

 Diceritakan, Nabi s.a.w. pernah menemui Aisyah r.a sedang menangis pada waktu haji Wada’. Saat itu Aisyah r.a. sudah mengenakan pakaian ihram. Rasulullah s.a.w. bertanya :
“Ada apa denganmu wahai Aisyah? Apakah engkau haidh?”
Aisyah r.a.menjawab, “Ya, wahai Rasulullah.”
Rasulullah s.a.w. menasihati, “Yang demikian itu adalah sesuatu yang Allah telah tetapkan bagi para wanita.” [Hadits shahih. Riwayat Bukhari (no. 294) dan Muslim (no. 1211)]

Demikian juga para wanita pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak pernah memberatkan diri mereka dengan melakukan hal tersebut (menggunakan ubat pencegah haidh). Hendaklah kaum wanita itu bersabar ketika mendapatkan haidh pada bulan Ramadhan dan janganlah menjerumuskan dirinya ke dalam perkara yang membahayakan. [Lihat fatwa Syaikh Utsaimin mengenai masalah ini dalam kitab 52 Su'alan 'an Ahkaamil Haidh, hal 19; Durus wa Fataawa al-Haram al-Makki, juz III hal. 273-274; dan Fatwa-Fatwa Tentang Wanita (I/273-274)]

Pada asalnya, ubat-ubat seperti ini membahayakan wanita, kerana haidh merupakan darah yang keluar secara alami. Apabila dicegah pada waktu keluarnya, maka akan membahayakan tubuh. Selain itu, ubat-ubat seperti ini menjadikan kebiasaan para wanita menjadi tidak teratur, akibatnya mereka akan bimbang dan ragu (apakah mereka telah suci atau belum) ketika solat dan lain-lain.

Namun, apabila penggunaan ubat pencegah haidh itu tidak memberi impak negatif terhadap diri dan kesihatan wanita tersebut, maka hal tersebut dibolehkan, dan puasanya sah selama wanita tersebut benar-benar tidak mengeluarkan haidh kerana ubat tadi. Akan tetapi, jika wanita tersebut ragu adakah haidhnya telah berhenti kerana ubat tadi, maka wanita tersebut dihukumi sama dengan wanita haidh, iaitu wajib berbuka pada masa-masa haidhnya dan mengqadha seluruh hari yang ditinggalkan kerana haidhnya. [Lihat Jaami' Ahkaamin Nisaa' (II/392); Ensiklopedia Fiqh Wanita (I/462) dan Majalah al-Buhuts al-Islamiyyah, Edisi 22 hal. 62].

Wanita yang menggunakan ubat pencegah haidh juga hendaklah meminta izin suaminya terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.


Ringkasnya, ulama’ tidak mengatakan itu haram, hanya tidak menganjurkannya. Selayaknya bagi para wanita untuk redha menerima takdir yang Allah takdirkan. Bagi menghadapi keadaan ini, sewajarnya para wanita bersabar dan mencari pahala dari Allah ketika meninggalkan solat dan puasa kerana haidh. Sesungguhnya, pintu dzikir terbuka luas, mereka boleh berdzikir, bertasbih, sadaqah, berlaku baik kepada manusia dengan perkataan mahupun perbuatan dan ini adalah amalan yang paling utama. 

***
Adaptasi daripada artikel 1, 2 dan 3
Wallahua'lam.

1 comment:

tasnim said...

Pilihan untuk beribadah, namun jangan sampai membawa mudharah dan menolak fitrah. Wanita yang berhaidh juga tetap memperoleh pahala jika dia menghiasi harinya dengan zikir.. Moga Allah memberikan ganjaran terbaik untuk hambaNya yangikhlas. Ameen