Bukan tips yang ini |
Ramadhan yang penuh dengan limpahan kebaikan dan keutamaan, akan dapat dirasa dan diraih apabila ilmu tentang Ramadhan difahami dengan baik.
Bayangkan, para generasi awal Islam sangat rindu untuk bertemu dengan bulan yang suci ini. Mereka berdo’a selama enam bulan sebelum kedatangannya agar mereka dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan. Bila Ramadhan tiba, mereka sungguh-sungguh meraih kebaikan dan keutamaan Ramadhan. Dan ketika mereka berpisah dengan Ramadhan, mereka berdo’a selama enam bulan seterusnya, agar kesungguhannya diterima Allah S.W.T..
Apa yang menyebabkan para generasi awwalin merasa BENAR-BENAR rindu pada Ramadhan?
Kerinduan itu ada pada diri mereka, kerana mereka betul-betul sedar dan faham keutamaan dan keistimewaan Ramadhan.
Jadi, bagaimana sewajarnya persiapan kita yang alhamdulillah sedang menjejaki bulan Sya'ban bagi menyambut kedatangan bulan Ramadhan?
Berikut kami kemukakan 8 Tips Menyambut Ramadhan:
1. Berdoa agar Allah S.W.T. memberikan umur yang panjang kepada kita sehingga kita berjumpa dengan bulan Ramadhan dalam keadaan sihat. Dengan keadaan sihat, kita boleh melaksanakan ibadah secara maksima : puasa, solat, tilawah, zikir dan lain-lain.
Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa, ”Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan." Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rajab dan Sya’ban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadan.” (HR. Ahmad dan Tabrani)
Dan di antara nikmat terbesar yang diberikan Allah S.W.T. kepada seorang hamba adalah ketika dia diberikan kemampuan untuk melakukan ibadah dan ketaatan.
2. Pujilah Allah S.W.T. kerana Ramadhan telah diberikan kembali kepada kita. Imam An-Nawawi dalam kitab al-Azkar, beliau berkata: ”Dianjurkan bagi setiap orang yang mendapatkan kebaikan dan diangkat dari dirinya keburukan untuk bersujud kepada Allah sebagai tanda syukur; dan memuji Allah dengan pujian yang sesuai dengan keagungannya.”
3. Bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. selalu memberikan khabar gembira kepada para sahabatnya setiap kali datang bulan Ramadhan.
“Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu surga dan menutup pintu-pintu neraka.” (HR. Ahmad).
4. Rancangkan agenda kegiatan harian untuk mendapatkan manfaat sebesar mungkin di bulan Ramadhan. Ramadhan sangat singkat, oleh itu, isi dan susun setiap detiknya dengan amalan yang berharga, yang akan membersihkan diri, dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T..
Seeloknya, setiap daripada kita mempunyai buku laporan amalan a.k.a buku mutabaah amal. Fizikal yang kompak, mudah dibawa atau diselit dalam Quran Tafsir dan dibawa ke mana-mana adalah lebih praktikal. Jadi, mudah untuk kita isi dan perasan jika ada lompang-lompang yang tertinggal. Boleh jadi terlupa, terralit dengan rutin harian atau ter ter yang lain. Kita semua manusia kan?
5. Kuatkan azam, bulatkan tekad untuk mengisi waktu-waktu Ramadhan dengan ketaatan. Barangsiapa jujur kepada Allah S.W.T., maka Allah S.W.T. akan membantunya dalam melaksanakan aktiviti-aktivitinya dan mempermudahkannya melaksanakan amal kebaikan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Tetapi jikalau mereka benar terhadap Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka.” (QS Muhammad : 21)
6. Fahami fiqh Ramadhan. Setiap mukmin beribadah wajib dilandasi ilmu. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadhan datang agar a’maliyah Ramadhan kita benar dan diterima oleh Allah S.W.T.. “Tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui.” Demikian firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Anbiyaa’ ayat 7.
7. Buatlah persediaan untuk hati, ruhiyah dan fizikal kita dengan bacaan yang mendukung proses tadzkiyatun-nafs – pembersihan jiwa. Hadiri majlis ilmu yang membahas tentang keutamaan, hukum, dan hikmah puasa. Sehingga secara mental, dan jiwa kita bersedia untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah S.W.T. di bulan Ramadhan. Contohnya, jika sebelum ini, bacaan al-Quran tidak selalu mencecah sejuzuk sehari, mulalah ‘berlatih’ dari sekarang.
8. Tinggalkan dosa dan maksiat. Isi dan penuhi Ramadhan dengan membuka lembaran baru yang bersih.
Lembaran baru kepada siapa?
Lembaran baru kepada Allah S.W.T., dengan taubat yang sebenarnya-taubatan nasuha. “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” (QS An-Nur : 31)
Lembaran baru kepada Nabi Muhammad s.a.w., dengan menjalankan sunnah-sunnahnya dan melanjutkan risalah dakwahnya.
Lembaran baru kepada orang tua, adik-beradik, kaum kerabat dan sahabat handai dengan mempererat hubungan silaturrahim.
Lembaran baru kepada masyarakat, dengan menjadi orang yang paling bermanfaat bagi mereka. Kerana, “Manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”
Lembaran baru kepada buku rekod masing-masing. Raqib dan Atid tidak PERNAH berhenti mencatat setiap perbuatan kita.
Semoga Allah S.W.T. memanjangkan umur kita sehingga berjumpa dengan Ramadhan. Dan selamat meraih kebaikan-kebaikannya.
Amin ya Rabbana.
Allahu a’lam.
[Adaptasi daripada tulisan Ulis Tofa, Lc, di dakwatuna.com]
Suggested Ramadan Checklist by a Muslim Convert. She is the 'beginner' compared to us, but MashaAllah it was great. Mari-mari check it out!
No comments:
Post a Comment