Tuesday, June 7, 2011

Yang Pertama Sekali


Gambar hiasan
Jam 9.05 malam, seorang lelaki memberi salam sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dewan kuliah. Orangnya kecil, zuhudnya besar. Lelaki yang dipanggil ustaz itu datang memenuhi rutinnya mengisi kuliah. Semua pelajar yang hadir sibuk mencari tempat duduk. Rata-rata mereka baru selesai bersolat Isya’.

Kelas pengajian hadith pada malam itu berlangsung seperti biasa. Minggu ini ustaz telah mengupas sebuah hadith. Matannya biasa sahaja disebut-sebut. Maksudnya pula sering sahaja dikupas diulas. Sabda baginda s.a.w berkaitan niat menjadi inti perbincangan dalam kelas pengajian itu.

“Siapakah orang pertama yang akan dicampakkan ke dalam neraka?” Satu soalan dilontarkan oleh ustaz di awal bicara. Nadanya bersahaja.

Ustaz menyambung.
“Saya beri kamu pilihan jawapan. 
A : Abu Lahab,
B : Abu Jahal,
C : Firaun,
D : Orang bukan muslim.” 

Dewan kuliah menjadi sepi seketika. Masing-masing orang berfikir.

“Em.. A Abu Lahab!” Satu suara terpacul memecah sunyi.

“C Firaun!” Seorang lagi pelajar menjawab.

“Mana satu jawapan yang betul ni? Ada kata A ada kata C.” Ustaz bersuara lagi.

“Baik, saya nak tanya. Yang jawab A, kenapa Abu Lahab yang akan dicampakkan dulu? Kalau diikutkan, Firaunlah yang sepatutnya masuk neraka dulu, sebab Firaun hidup sebelum Abu Lahab kan?” Ustaz bertanya lagi.

Suasana senyap kembali menyelimuti dewan kuliah. Ada beberapa orang pelajar mengangguk, setuju. Ada juga yang tidak memberi tindak balas apa-apa melainkan terus setia menadah telinga dengan dahi yang berkerut.

“Kalau Firaun yang dicampakkan dahulu ke neraka, atas sebab apa pula? Bukankah banyak lagi manusia yang hidup sebelum Firaun? Betul tak?” Ustaz menghalakan lagi soalan. Sengaja memprovokasi.

Allahu Akbar! Soalan ustaz ini benar-benar bikin kepala saya pusing.
“Nanti kita lihat siapa orang pertama yang dicampakkan ke neraka. Orang itu ada di antara kita.”

Zappp! Darah gemuruh saya menjadi. Takut mendengar pernyataan yang dibuat oleh ustaz sebentar tadi. Tidak tahu bagaimana saya mahu menggambarkan rasa takut itu. Sungguh, hanya Allah sahaja yang tahu. 

Merasakan diri yang mungkin menjadi calon pertama dihisab dan dihumban ke dalam neraka, saya beristighfar. Terbayang api yang marak menyala disertai dengan binatang-binatang berbisa, ditambah pula dengan nanah yang busuk dan panas, Allah.. saya lemas. Sangat tidak mahu berada berdekatan pintunya, apatah lagi duduk baring di dalamnya.

Kuliah hadith pada malam itu diteruskan. Satu demi satu isu ditimbulkan. Sengaja membuatkan sidang pendengar berfikiran. Isi kuliah disampaikan dengan potongan-potongan hikmah dari sunnah juga Quran. Lancar lidah ustaz beromongan.

Hampir satu jam lebih berkuliahan, semua pelajar memperoleh jawapan. Kembali kepada persoalan, siapakah manusia pertama yang akan dicampakkan?

“Hah! Sekarang mari kita lihat siapa orang pertama yang bakal dihumban ke dalam neraka.”

Gambar hiasan

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dinyatakan bahawa:
"Sesungguhnya orang yang mula-mula diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang telah mati syahid, setelah dia didatangkan kepada Allah s.w.t, Allah s.w.t memperingatkan nikmat-Nya dan dia mengakui nikmat-nikmat itu
Lalu Allah s.w.t bertanya, "Apakah yang telah kamu lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?" 
Orang itu berkata : "Saya berperang di jalan-Mu sehingga saya telah gugur syahid." 
Allah berfirman, "Kamu dusta, sebaliknya kamu berperang supaya kamu dikatakan pahlawan dan perkara itu telah kamu peroleh.” 
Lalu Allah perintahkan dia diheret dengan muka terlangkup lalu dicampak ke dalam neraka.



Orang kedua yang diadili ialah seorang lelaki yang telah belajar ilmu pengetahuan, mengajarkannya dan membaca al-Quran, dia didatangkan ke hadapan Allah s.w.t dan Allah memperingatkan nikmat-nikmat yang telah diberi kepadanya dan dia mengakui nikmat-nikmat yang Allah berikan kepadanya. 
Allah berfirman, “Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?" 
Lelaki itu berkata, "Saya belajar ilmu dan telah mengajarkannya dan saya membaca al-Quran kerana-Mu.” 
Allah berfirman, "Kamu berdusta, sebaliknya kamu belajar supaya kamu dikatakan 'alim dan kamu membaca al-Quran kerana ingin dikatakan Qari lalu kamu memperolehinya.” 
Lalu Allah perintahkan dia diheret dengan muka terlangkup lalu dicampak ke dalam neraka.

Orang ketiga ialah seorang lelaki yang Allah telah permudahkan rezeki dan mengurniakannya pelbagai harta, setelah didatangkan ke hadapan Allah s.w.t dan Allah memperingatkan nikmat-nikmat yang telah diberi kepadanya dan dia mengakui nikmat-nikmat yang Allah berikan itu. 
Allah berfirman, “Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?" 
Lelaki itu berkata, "Saya telah membelanjakan pada jalan-jalan yang Engkau suka, untuk mendapatkan keredhaan-Mu.” 
Allah berfirman, “Kamu dusta, kamu membelanjakannya supaya kamu dikatakan seorang dermawan dan sesungguhnya kamu telah peroleh.” Lalu Allah perintahkan dia diheret dengan muka terlangkup lalu dicampak ke dalam neraka".


Nau'zubillah.


Allahu a'lam. Berdoalah semoga kita terhindar daripada tergolongan dalam tiga golongan ini.
_

*Hadith di atas adalah sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya, hadis no: 1905 (kitab al-Imarah, bab orang yang berperang kerana riya').

Sumber : htttp://khayrannisa.blogspot.com

       *************


Intention by Native Deen. 
Pembaca sekalian, ini sedikit selingan.
Saya tidak pasti adakah ini halwa, tapi maksudnya baik untuk telinga.
Untuk dapatkan lirik dan ketuk hati masing-masing, mari jenguk sini.
Semoga bermanfaat.

1 comment:

Anonymous said...

hati telah diketuk2. semoga mendapat hidayahnya.