Azan Asar sudah berkumandang. Saya harus lekas, bimbang terlepas berjemaah. Terkocoh-kocoh dari Fakulti Pendidikan, saya menuju ke masjid. Berwudhu’, dan terus bersama jemaah mengangkat takbiratul ihram.
Usai solat dan bersalam-salaman, saya terpandang satu wajah yang dikenali. Sosok tubuh yang saya sangat hormati. Lama tidak ketemu beliau. Saya menyapa, kemudian saling bertukar khabar dan berhiwar. Dapat peluang berdamping dengan ilmuwan, dipersia jangan.
Saya membetulkan sila, duduk separa tunduk tanda bersedia mendengar kalam beliau.
“ Di akhir zaman ini, ramai manusia yang keliru tentang Islam yang sebenar. Umat Islam umpama buih, menyongsong mengikut arus tanpa pedoman. Naudzubillah min zalik.”
Saya mengangguk.
“Ustaz, bilangan penduduk muslim di dunia sudah mula berkurang kan? Jika tak silap ana, bilangannya lebih sedikit daripada Nasrani ye?
“Betul, jika mengikut ukuran dunia, bukan negara.”
“Err… belum lagi orang-orang munafiq dalam Islam itu sendiri ye ustaz? (wal’iyya zubillah.)”
“Ya…”
“Belum lagi orang-orang yang berfikiran liberal, sekular, dan seumpamanya ye ustaz?
“Ya…”
“Belum lagi…”
Tahukah saudaraku, belum lagi yang terakhir itu apa?
Belum lagi orang yang mungkin sebenarnya mengaku dirinya Islam, tapi dia tidak mengenal Islam dan mungkin tidak faham bahwa dia telah keluar dari Islam. Sungguh, benarlah kata Nabi s.a.w., di akhir zaman nanti akan lahir manusia yang tidak tinggal keislamannya kecuali hanya pada nama. Kita berlindung kepada Allah S.W.T. daripada hal demikian.
Setelah bermunaqasyah beberapa ketika, ustaz mohon untuk pamit; harus menjemput anak pulang dari sekolah. Sekonyong-konyong, beliau menghulurkan sehelai risalah kepada saya.
“Jazaakallah khayr ya ustaz”
Tangannya menepuk-nepuk bahu saya, “Wa iyyaka ya shabab!”.
Tanpa berlengah, saya terus menelaah.
Apa Makna Islam?
Makna Islam sebagaimana didefinisikan para ulama adalah :
الأِسْتِسْلامُ لِلَّهِ بِالتّوحيد
al istislamu lillahi bit tauhid
و الأنقياد له بالطاعة
wal inqiyaadu lahu bit to’ah
و البراءة من الشرك و أهله
wal barooatu minasyirki wa ahlihi
Mari kita perjelas satu persatu definisi tersebut.
1. Berserah diri kepada Allah dengan cara hanya beribadah kepada-Nya dan tidak kepada selain-Nya.
Ertinya kita benar-benar melakukan ibadah dan segala bentuk perhambaan hanya kepada Allah S.W.T.
Hanya kepada Allah.
“Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.” (QS Al Ikhlas [112]: 1-4)
Ibadah adalah segala sesuatu yang dicintai dan diredhai oleh Allah S.W.T. baik berupa perkataan atau perbuatan, yang zahir mahupun yang batin. Ibadah disini meliputi doa’, solat, nazar, rasa takut, istighotsah (minta pertolongan) dan sebagainya. Ibadah ini harus ditujukan hanya kepada Allah S.W.T. tidak kepada selain-Nya, sebagaimana firman Allah Ta’ala :
”Hanya kepadaMu lah kami beribadah, dan hanya kepadaMu lah kami minta pertolongan.” [Al Fatihah: 5]
Sebagai contoh, sebahagian besar daripada saudara kita masih sulit meninggalkan kepercayaan pada ramalan dan penentuan nasib baik dan buruk kepada selain Allah S.W.T. (ertinya dia menggantungkan urusannya dan pengharapannya pada sesuatu selain Allah S.W.T.). Padahal perkara ghaib hanyalah Allah S.W.T. yang mengetahui dan hanya kepada Allah lah seseorang menggantungkan segala urusannya selain usaha yang dilakukannya.
Akhirnya, dari perkara yang sulit ditinggalkan ini merebak kepada hal-hal lain yang juga merupakan bentuk-bentuk kesyirikan yang dapat mengeluarkan seseorang dari Islam. Maka untuk point pertama ini, kita harus memperbaiki ilmu tentang tauhid. Dan janganlah merasa selesa dan merasa pintar sehingga mengatakan “Ah, bosan! Balik-balik tauhid je.”
Saudaraku, bukankah Rasulullah s.a.w. berdakwah di Mekah selama 13 tahun untuk menanamkan asas penting ini kepada para sahabat? Bukan tergesa-gesa membina negara atau yang lain-lain. Begitu pentingnya tauhid, kerana ia menjadi dasar untuk ibadah yang lain. Itu yang pertama. Dan yang kedua, agar segala amal ibadah tercatat sebagai amalan ibadah dan tidak terhapus begitu saja oleh kesyirikan.
2. Menundukkan ketaatan
Ertinya, seorang muslim menundukkan segala bentuk ketaatan kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah Allah dan RasulNya. Mungkin kita tidak sedar, bahwa selama ini kita bukan taat kepada Allah dan Rasul sebagaimana yang diperintahkan oleh syari’at. Akan tetapi, kita terjatuh pada perilaku orang-orang jahiliyyah yang lebih mengedepankan ketaatan kepada warisan nenek moyang, yang jika ditelusuri ternyata tidak mengajarkan hal-hal yang sesuai dengan syari’at-Nya.
“Apabila dikatakan kepada mereka: Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul.” Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapak-bapak kami mengerjakannya.” Dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk” (QS Al Maaidah [5]: 104)
3. Berlepas diri dari syirik dan pelakunya
Jika seseorang berserah diri hanya kepada Allah dan tidak kepada yang lain, maka ia akan berlepas diri dari kesyirikan dan pelakunya.
Syirik merupakan dosa besar yang paling besar. Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w, ”Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah?” Baginda s.a.w. bersabda, “Engkau menjadikan sekutu bagi Allah, padahal Dialah yang telah menciptakanmu.“ [HR. Bukhori, Muslim].
Maka, selayaknya bagi kita untuk berhati-hati jangan sampai ibadah kita ‘tercampur’ dengan kesyirikan sebesar hama pun, dengan cara mempelajari ilmu agama yang benar agar kita mengetahui mana yang termasuk syirik dan mana yang bukan syirik.
Kita hendaklah merasa takut terjerumus ke dalam kesyirikan, kerana syirik itu, sebagaimana sabda Nabi s.a.w., ”Wahai umat manusia, takutlah kalian terhadap kesyirikan, kerana kesyirikan itu lebih samar daripada langkah semut.” [HR. Ahmad].
Langkah semut. Ada sesiapa boleh mendengar derapan itu?
Sia-sialah seluruh amalan seorang muslim jika ia melakukan kesyirikan. Percuma.
“…Seandainya mereka mempersekutukan Allah, nescaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan.” (QS Al An’am [6]: 88)
Begitulah kesyirikan, kadang samar sekali tak terlihat secara langsung, namun benar-benar sangat membinasakan. Oleh sebab itulah, kita disarankan membaca doa’ seperti berikut agar segala bentuk kesyirikan yang mungkin secara tidak sedar dilakukan, diampuni oleh Allah S.W.T.
اللهمَّ إنّي أعوذُ بكَ أنْ أُشْركَ بكَ وَ انا أعْلمُ و أستغفرُك لما لا اعْلمُِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dari berbuat kesyirikan kepadamu yang aku ketahui, dan aku memohon ampunanmu dari kesyirikan yang aku tidak ketahui.” (HR. Ahmad)
Semoga menjadi pengenalan singkat tentang Islam yang bermanfaat bagi kita semua. Amiin.
Wallahua’lam.
Maraji’:
1. Majalah Al Furqon edisi 5 tahun ke-8 1429/2008
2. Syarah Salatsatul Ushul (terjemah) Syeikh Muhammad bin Salih al-Utsaimin, Pustaka Al Qowam cetakan ke-6 2005
***
Artikel : muslimah.or.id
1 comment:
Kata seorang alim,
"Lakukanlah apa jua amalan soleh sebanyaknya (seperti solat, puasa, sedekah dan sebagainya), mempamerkan pakaian Islam sebaiknya, namun andai tidak memahami serta mengaplikasikan takrif Islam yang sebenar, tiada berguna. "Habaaan mansuura", demikian firman Allah."
Mari muhasabah. Apa maksud Islam yang kita pakai selama ini?
Islam yang Allah redhai ; atau
Islam ikut definisi sendiri?
Post a Comment