Friday, November 12, 2010

Dua Puluh Dua

Oleh : Abu Hamzah (Petikan daripada risalah buletin IKATAN Mesir)

Satu ciri istimewa yang dimiliki oleh surah Al-Hajj ialah satu-satunya surah yang dinamakan dengan salah satu daripada rukun Islam. Ibadah haji merupakan topik asasi bagi surah Al-Hajj. Di sini, kita dapat lihat betapa tingginya nilai ibadah haji dalam kehidupan muslim.

Sekiranya kita membaca permulaan surah Al-Hajj, kita akan mendapati bahawa ayat-ayat tersebut memfokuskan kepada hari kiamat, hari kebangkitan dan tempat kembali sehinggalah ayat-ayat tersebut berpindah topik berkisarkan jihad di jalan Allah. Kemudian, ayat-ayat seterusnya menjurus kepada pengabdian dan ketundukan sebenar-benarnya kepada Allah S.W.T.

 

3 kunci kata. 
Hari Kiamat, jihad di jalan Allah, dan pengabdian kepadaNya. 

Apakah kaitan antara topik-topik tersebut?

Apa kaitannya dengan haji?

Sesungguhnya seorang muslim akan memahami apakah yang dimaksudkan oleh surah tersebut samaada dengan menunaikan ibadah haji ataupun berada bersama para jemaah haji, atau boleh jadi seorang yang mengimpikan menjadi salah seorang daripada mereka. Haji merupakan satu ibadah yang mempunyai peranan asasi dalam pembinaan ummah, ia bukan sekadar meninggalkan keluarga dan berkorban harta benda. Justeru, surah Al-Hajj juga seakan membawa pengkhabaran kepada para jemaah haji bahawa: “Tunaikanlah haji yang sahih sepertimana haji yang ditunaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w., supaya kamu membina diri kamu dengan makna-makna asasi di sebalik haji tersebut.” 

Kunci Kata I
Hari Kiamat dan Peringatan Amali

Surah Al-Hajj ini bermula mengingatkan kita dengan Hari Kiamat. Pada permulaan surah, maksud firman Allah S.W.T. berbunyi :Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya goncangan Hari Kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar. (QS Al-Hajj:1)

Uh, apakah pula kaitannya Hari Kiamat dengan ibadah haji?

Para pembaca sekalian, ketahuilah sesungguhnya ibadah haji secara keseluruhannya mengingatkan manusia tentang gambaran Hari Kiamat.
Bagaimana perjalanan dari Arafah ke Muzdalifah untuk melontar jamrah dalam keadaan yang amat panas, bersesak-sesak, dan penantian yang lama. Di saat itu, setiap manusia kudus berharap dan mengadu hanya kepada Allah S.W.T., dengan lidah yang basah mengucapkan kalimah berbentuk doa’ : “Labbaikallahummalabbaik…”

Bagaimana pakaian para jemaah haji ketika ihram, berbalutkan kain putih di badan sebagai peringatan kepada kita tentang kain kafan yang menjadi persalinan kita ketika kita bergelar mayat.

Semua itu, merupakan ilustrasi awal bagaimana kepanasan yang menyengat, kesesakan dalam lautan manusia, sama-sama tenggelam dalam terik matahari di Hari Kiamat nanti.

Dan setiap perkara tersebut mengingatkan kita kepada perjalanan hidup kita yang sebenar, bahawa dunia sebagai R&R dalam perjalanan, mazra’ah akhirat.

Ayat seterusnya dalam surah Al-Hajj menyifatkan keadaan Hari Besar itu seakan-akan berlaku di depan mata kita. Firman Allah S.W.T. : “Ingatlah pada hari ketika itu, kamu melihat goncangan yang mana semua perempuan yang menyusui anaknya, akan lalai kepada anaknya. Setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya, dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, tetapi azab Allah itu sangat keras.” (QS Al-Hajj: 2)

Sungguh, Maha Kuasa Allah. Apa lagi bukti yang manusia inginkan?

Kemudian latar surah beralih pula kepada ayat-ayat yang berkait dengan Hari Kebangkitan. Ketika manusia dikeluarkan dari kubur-kubur mereka dalam keadaan muka dan jasad mereka dipenuhi debu dan tanah, mengingatkan kita asal kejadian manusia daripada tanah. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Wahai manusia! Sekiranya kamu meragui hari kebangkitan, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah…” hingga akhir ayat. (QS Al-Hajj : 5)

Ketika para jemaah menunggu untuk membuka pakaian ihram, kita dapat melihat diri kita sebahagian daripada tanah. Di Muzdalifah, kita dapat melihat sebahagian daripada jemaah kelihatan seperti ‘mayat’  dek kepenatan yang ditanggung. Apabila tiba waktu fajar pula, manusia bangun seperti dibangunkan dari kubur masing-masing. Kemudian, setiap daripada mereka memakai pakaian putih, dan bergerak berbondong-bondong untuk melontar jamrah. Dengan itu, datang ayat yang mengingatkan kebangkitan dari kubur, di dalam firman Allah S.W.T. : “dan sungguh, Hari Kiamat itu pasti datang. Tidak ada keraguan padanya, dan sungguh Allah akan membangkitkan siapa pun dari dalam kubur.” (QS Al-Hajj : 7)

Demikianlah kita melihat kesan pertama haji dalam mentarbiyah ummah. Tarbiyah tentang hari kiamat dan persediaan untuk menghadapinya.

Haji : Hadafnya Taat kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. : “Demikianlah perintah Allah, dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketaqwaan hati.” (QS Al-Hajj : 32)

Timbul persoalan, apakah rahsia Allah mensyariatkan ibadah yang besar ini?
Para pembaca sekalian tentu sudah maklum bahawa sepanjang proses ibadah haji, ada rukun-rukun serta wajib haji yang perlu jemaah lunaskan. Sekiranya tidak ditunaikan dengan sempurna, ia akan mencacatkan ibadah tersebut.

Seorang muslim yang sedang menunaikan haji, dengan keterbatasan menjaga pantang larang ; akan bertawaf mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali, berlari-lari anak di antara 2 bukit sebanyak 7 kali, kemudian melontar di ketiga-tiga jamrah (melontar batu kepada batu), dan pelbagai lagi. 



Apa tujuan semua ibadah ini?

Logiknya, seolah-olah jemaah mempraktikkan pelbagai ibadah yang majhul hikmah di sebaliknya. Tetapi, para pembaca sekalian, ketahuilah bahawa dia sebenarnya sedang menunaikan ketaatan kepada Allah S.W.T, patuh pada perintahNya, dan ini tidak sia-sia. Ini suatu puncak pengabdian ketaatan kepada Allah S.W.T., dan juga latihan kepada satu lagi kefardhuan di dalam deen kita, iaitu jihad di jalan Allah.

Kunci Kata II
Haji Dan Jihad 

Seterusnya, selepas ayat-ayat berkenaan haji, Allah datangkan ayat-ayat jihad fi sabilillah di dalam firman Allah S.W.T. : “Sesungguhnya Allah membela orang yang beriman…” (QS AlHajj : 38). Dan firman Allah S.W.T. lagi : “Diizinkan berperang bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka dizalimi. Dan sungguh, Allah Maha Berkuasa menolong mereka itu.”  (QS Al-Hajj : 39) 

Haji merupakan latihan asasi kepada jihad di jalan Allah. Ia diibaratkan daripada gerakan yang sukar, dan perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Kesimpulannya, haji merupakan ibadah yang tinggi, di mana seorang muslim itu meninggalkan kebanyakan rutin hariannya bagi membina ketahanan diri dan membentuk peribadi yang bersungguh-sungguh.


Kunci Kata III
Haji dan Ketundukan kepada Allah S.W.T.



Pada hari Arafah, kita akan merasakan bahawa, bukan kita sahaja yang sujud kepada Allah S.W.T, tetapi kita akan merasakan khemah-khemah, gunung-ganang malah seluruh ciptaan di alam ini turut bersujud kepada Allah S.W.T. Maka, kita akan bersama-sama menyertai mereka dalam sujud dan pengabdian seperti dalam firman Allah S.W.T. : “Tidakkah engkau tahu bahawa siapa yang ada di langit dan di bumi bersujud kepada Allah, juga matahari, bulan bintang, gunung-ganang, pohon-pohon, haiwan yang melata dan banyak dalam kalangan manusia, tetapi manusia yang layak mendapatkan azab. Barangsiapa yang dihinakan Allah, tidak seorang pun memuliakannya. Sungguh, Allah berbuat apa sahaja yang dikehendaki.” (QS Al-Hajj : 18)

Dan pelbagai lagi dalil-dalil yang Allah sisipkan tentang kekuasaanNya di akhir surah ini.
Subhanallah. Sungguh, alangkah kerdilnya kita.

Dua Puluh Dua = Surah Al-Hajj. 

Wallahua’lam. 

********

10 hari pertama Zulhijjah masih bersisa. Ayuh baiki lompong-lompong amalan kita. Selamat pulang ke kampung halaman. Raikan kehadiran Aidiladha dengan penuh kesyukuran.



Tapi,
Jangan dibiarkan mood raya terlalu menguasai,
Simpan semangat untuk mengulangkaji,
Ingat, dewan peperiksaan masih menanti. (^_^)

4 comments:

Anonymous said...

salam, nice entry, keep working..mohon dicopy ya(^_^)

103060 said...

moga Allah SWT beri kekuatan & ketabahan kepada jemaah haji...juga peringatan & persediaan kepada bakal-bakal jemaah haji...

tahniah, post menarik...Teruskan dalam mencurah idea...

IMPI UTM said...

Salam Aidiladha buat semua.

Anonymous, silakan..
Maaf atas segala kekurangan dalam aspek bahasa : penyusunan dan pemilihan kata, tatabahasa dll.
Sebarang penambahbaikan dialu-alukan. Elok juga jika dikongsi link ke sini (^__^).
Terima kasih.

103060
the loyal commentator (^__^),
Terima kasih atas dorongan.

rayyan said...

tahniah..entry yg betul2 memberi input yg bermakna..teruskn usaha IMPI UTM dlm menyebarkn ilmu yg bermanfaat...