Assalamualaikum semua.
Apa khabar? Semoga sentiasa berada dalam keadaan sihat dan iman yang berwajah ceria.
Hari ini sudah masuk hari ketiga bulan dua belas (3hb 12).
Ya, saya tidak silap menulis. Setting di jam tangan serta telefon bimbit anda juga masih belum rosak.
Bulan 12 bermaksud bulan Zulhijjah, mengikut kalendar Islam.
Ramai dalam kalangan kita yang telah maklum kelebihan 10 malam-malam terakhir Ramadhan.
Namun, melewati 3 hari di bulan haji ini, adakah ramai dalam kalangan kita yang mengetahui kelebihan 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah?
Imam al Bukhari r.a meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud :
“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, “Tidak juga jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?” Ujar baginda : “Tidak juga jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)”.
Justeru, untuk entry kali ini, IMPI ingin berkongsi amalan-amalan sunat yang dituntut sepanjang 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah :
1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik
amalan.
Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini antaranya sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.
2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah.
Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.
Puasa ini adalah bagi mereka yang tidak berwuquf di padang Arafah.
3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padaNya.
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini. Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.
4. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
Semoga beroleh manfaat.
Marilah kita sama-sama berdoa agar diberi kekuatan oleh Allah S.W.T. agar dapat melakukan sebanyak mungkin ibadat sunat yang dituntut.
Jika tidak dapat lakukan semua, jangan ditinggalkan semuanya.
*Maaf, entry ini agak terlewat. Its better late than never, kan? (^__^)
2 comments:
input yg sgt menarik n bermanfaat...sentiasa update iman kte dgn amalan2 yg dituntut..
"Biar lambat asal selamat" :)
kelebihan yg xramai mengetahuinya...
mgkin ia tidak dinampakkan kpd org ramai, atau mgkin bahangnya tak sehebat kelebihan bulan2 lain...
nice entry utk ingatan bersama...semoga peringatan membawa kejayaan bersama...
Post a Comment