Sunday, August 16, 2009

Majlis Multaqa SPI 09/10


Pada 13 Ogos 2009 yang lepas, Ikatan Mahasiswa Pengajian Islam(IMPI) dengan kerjasama Fakulti Tamadun Islam telah menganjurkan Majlis Multaqa' SPI 09/10. Program yang dianjurkan ini adalah khusus untuk bertaaruf dan beramah mesra bersama pelajar-pelajar baru SPI bagi sesi 09/10. Program yang diadakan di Dewan Al-Ghazali, Pusat Islam UTM ini turut dihadiri oleh pensyarah-pensyarah Fakulti Tamadun Islam di bawah kelolaan dekan fakulti iaitu PM Dr. Hussin Bin Salamon. Turut hadir sama, Pengarah Pusat Islam UTM iaitu Dr. Azhar Bin Muhammad pada majlis tersebut.


Majlis tersebut bermula dari jam 7.45 malam dengan pengisian Ceramah Motivasi yang disampaikan oleh Dr. Mohd Ismail Bin Mustari yang merupakan Timbalan Pengarah Pusat Islam, UTM. Ceramah yang berlangsung sehingga jam 8.30 malam itu disambung selepas waktu isyak dengan pengisian seterusnya iaitu ucapan aluan oleh Pengarah Fakulti Tamadun Islam. Dalam ucapan beliau, banyak nasihat dan pesanan yang diamanahkan khusus untuk mahasiswa-mahasiswa baru dan umumnya untuk semua mahasiswa. Ucapan beliau juga menyatakan tentang kelulusan penubuhan Fakulti Tamadun Islam di UTM.


Majlis yang dipengerusikan oleh Saudara Sabar Afifuddin itu diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada mahasiswa-mahasiswa yang mencapai kecemerlangan berdasarkan peperiksaan akhir semester lepas. Hadiah disampaikan oleh Dekan Fakulti diiringi oleh Pengerusi IMPI iaitu Saudara Mohd Abd. Hadi.


Setelah selesai majlis penyampaian hadiah, semua mahasiswa dan pensyarah dijemput ke jamuan yang disediakan oleh IMPI. Majlis tamat pada jam 11.00 malam setelah selesai jamuan pada malam tersebut.


:::ajkIMPI:::
Tahniah dan syabas buat pimpinan IMPI atas kejayaan menganjurkan Majlis Multaqa' SPI 09/10 walaupun dalam kesibukan masing-masing sebagai mahasiswa. Semoga kesibukan yang dilalui tidak menghalang untuk bergiat aktif dalam menganjurkan pelbagai program untuk IMPI. Khusus buat mahasiswa baru IMPI, semoga dapat bersama-sama menyertai segala program yang dianjurkan oleh IMPI. Syukran...

No comments: